Friday, February 19, 2010

Urutan Tuan, Hamba dan Sahabat

Stimulus: Kata sahabat nabi lebih kurang bermaksud "didik anak itu sebagai tuan ketika dibawah 7 tahun (sebelum mumayyiz), sebagai hamba sebelum 14 (baligh) dan sebagai sahabat selepas itu".

Respon saya: Saya melihat ada tiga elemen utama yang hendak disampaikan oleh sahabat itu ia itu material, methodologi dan peringkat usia mengikut fokus/keutamaan.

Pada usia sebelum mumayyiz pendidikan bertujuan untuk membentuk sikap, memberikan makna pada nilai, landasan ketuhanan menggunakan methodologi yang bersifat lemah lembut, memujuk, menunjukkan role model dan sebagainya. Secara ilmiah ia dikatakan pendidikan pada domain afektif. Ini serasi dengan prinsip pendidikan nilai/value yang tidak dapat dibentuk melalui kekerasan dan ketakutan. Jika terbentukpun sebenarnya ia adalah kepura-puraan melainkan ada faktor luar biasa ia itu hidayah tuhan. Nilai akan membina sikap dan membuat anak itu mampu untuk menerima pendidikan seterusnya. Pendidikan nilai adalah merupakan asas atau permulaan kepada pendidikan. Pendidikan nilai dilihat tidak berkesan selepas usia ini kerana tumpuan yang terpaksa diberikan pada bidang yang lain. Walaupun begitu pendidikan nilai tidak semestinya tamat ketika usia ini. Tahniah kepada ibubapa yang telah berjaya memikul tanggung jawab ini. Pada anak-anak yang tidak memiliki keperluan ini jadikan ini titik kesedaran untuk mendidik diri sendiri megikut landasan yang betul dan seterusnya mendidik anak-anak sendiri suatu hari nanti. Kegawatan hidup menyebabkan ibubapa terpaksa menghantar anak-anak ke tadika/ tabika/ kindergarten/ pasti dan lain-lain lagi. Syukurlah kalau pusat-pusat tadi tahu dan sedar kepentingan ini dan bersedia mengambil alih tugas besar dan murni ini.

Pada peringkat kedua iaitu selepas mumayyiz dan sebelum baligh, merupa tempoh masa yang lebih mencabar dengan segala macam dugaan dan godaan baik rakan sebaya terutama yang tidak memiliki nilai-nilai asas atau environment yang brutal atau kehendak-kehendak dalaman yang menghancurkan dan akhirnya peringkat ini terabai begitu sahaja. Anak-anak mungkin menolak pendidikan peringkat ini jika berlaku kegagalan pada peringkat pertama. Pendidikan pada peringkat ini menerusi 'Learning by doing', sebagaimana kerja seorang hamba. Material yang difokuskan disini adalah kemahiran samaada kemahiran itu bersifat kognitif, afektif atau psikomotor. Oleh kerana ia adalah kemahiran maka untuk menguasainya tidak ada sebarang cara hanyalah dengan melakukannya berulang-kali. Alam sekitar banyak memberikan bahan untuk melatih kemahiran ini. Pokok, haiwan, fenomena alam dan lain-lain lagi untuk melatih observing, inferring, questioning dan lain-lain untuk kemahiran kognitif manakala pasir, batu, pokok untuk kemahiran psikomotor, manakala haiwan liar dan jinak, manusia dan segala macam hidupan untuk kemahiran afektif yang melibatkan komunikasi dan perasaan. Waktu ini anak-anak dibawa ke sekolah untuk mendapat pendidikan formal. Adakah anda yakin di sekolah semua ini dilayan dengan baik? Masih banyak pelajar yang tamat peringkat ini tidak faham apa yang dibaca (artikel sebelum). Bagaimana mereka diajar membaca? Adakah sekadar boleh menyebut secara fonetik setiap ayat atau paragraf itu didefinasikan boleh membaca?

Peringkat ketiga pula memberikan tumpuan pada pengetahuan, peringkat pelajar/anak-anak mula memberikan sumbangan. Output Learning sepatutnya bermula. Sebagai sahabat kita saling bantu membantu, berfikir sendiri dan kemudian bertukar-tukar fikiran ke atas sebarang material. Kemahiran dan nilai yang terbentuk sebelumnya akan membolehkan individu itu mempunyai idea dan berani untuk mengemuka kepada guru atau rakan sebayanya kerana semua orang pada masa ini adalah sahabat-sahabat yang mencari keredhaanNya didunia ini. Adakah ini berlaku sekarang ini. Sebagai guru disekolah saya merasa sangat sukar untuk mengendalikan sesi perbincangan. Selalunya perbincangan seorang diri bersama dengan patong-patong yang bernyawa. Kenapa jadi begini? Bagaimana mengubahnya?
Akan majukah generasi kita nanti?


Sila komen untuk kebaikan bersama.

1 comment: